Dua pelajaran diperolehi daripada kisah Nabi Yusuf. Pertama, mengenai makna sepatah perkataan Arab di dalam al-Qur'an. Perkataan itu ialah "Rasul" yang lazimnya diguna untuk "Rasul Allah", atau "Utusan Allah". Akan tetapi, pada sebuah ayat dalam surah Yusuf perkataan itu digunakan oleh Allah untuk seorang utusan atau pembawa berita kepada seorang raja. Inilah ayatnya:
"Raja berkata, 'Datangkanlah dia (Yusuf) kepadaku.' Apabila rasul (utusan) datang kepadanya, dia (Yusuf) berkata, 'Kembalilah kepada pemelihara (raja) kamu, dan tanya dia, 'Bagaimanakah dengan perempuan-perempuan yang memotong tangan mereka?' Sesungguhnya Pemeliharaku tahu muslihat mereka.'" (Qur'an 12:50).Maka perkataan Rasul bukan sahaja diguna untuk Rasul Allah, malah ia boleh digunakan untuk orang yang tugasnya seperti utusan atau pembawa berita bagi orang lain.
Rasul di dalam ayat tadi adalah orang suruhan bagi seorang raja yang dihantar, atau diutus, untuk berjumpa dan membawa Nabi Yusuf dari penjara ke istana. Begitulah sedikit kisah Nabi Yusuf yang menarik disebut di sini.
Dengan itu, membawa kepada pelajaran kedua dalam kisah Nabi Yusuf dengan adik-beradik, ibu dan bapanya. Cerita-cerita mereka merupakan suatu pelajaran juga, seperti kata Allah:
"Sesungguhnya dalam cerita-cerita mereka adalah pelajaran bagi orang-orang empunya minda" (12:111).Kisah Nabi Yusuf tersurat dalam Surah ke-12 al-Qur'an. Nama surah itu pun ambil sempena nama Nabi Yusuf, iaitu Yusuf. Menurut suatu sumber, baginda dikatakan tinggal di sekitar tahun 1700 S.M, iaitu kira-kira 3,700 tahun dahulu. Atau, kurang lebih dua ribu tiga ratus tahun sebelum kemunculan Nabi Muhammad.
Kisah Nabi Yusuf adalah cerita yang paling baik dalam al-Qur'an.
Firman-Nya:
Cerita bermula dengan mimpi Nabi Yusuf semasa dia kanak-kanak. Mimpi itu diceritakannya kepada bapanya Yaakub, yang juga jadi seorang Nabi."Kami ceritakan kepada kamu cerita yang paling baik dalam apa Kami wahyukan kamu, al-Qur'an ini" (12:3).
"Apabila Yusuf berkata kepada bapanya, 'Ayah, saya lihat sebelas bintang, dan matahari, dan bulan; saya lihat mereka sujud kepada saya" (12:4).
Setelah mendengar cerita Yusuf, bapanya melarang mimpi itu daripada
diceritakan kepada saudara-saudaranya. Dia juga beri tahu Yusuf bahawa Tuhan
telah memilihnya dan mengajarnya interpretasi mimpi.
Abang-abangnya tidak suka padanya kerana mereka sangka Yusuf dan adiknya
lebih dicintai oleh bapa mereka daripada mereka. Lalu mereka bercadang untuk
membunuh atau membuang Yusuf ke tempat lain. Akan tetapi,
"Seorang daripada mereka berkata, 'Tidak, jangan bunuh Yusuf, tetapi lemparlah dia ke dasar perigi, dan sebahagian pengembara akan memungutnya, jika kamu mahu lakukan'" (12:10).
Setelah menetapkan rancangan itu mereka pergi kepada bapa mereka, meminta
kebenarannya, supaya Yusuf dapat pergi bersama mereka untuk bersuka-suka dan
bermain-main pada keesokan hari.
Pada mulanya bapa mereka keberatan untuk membenarkan Yusuf pergi bersama
mereka, dengan berkata "Ia menyedihkan aku bahawa kamu pergi dengannya, dan aku
takut akan serigala memakannya sedang kamu lalai daripadanya"
(12:13).
"Maka apabila mereka pergi dengannya, dan mereka bersetuju untuk meletakkan dia di dasar perigi, lalu Kami wahyukannya, 'Kamu akan beritahu mereka mengenai perbuatan mereka ini apabila mereka tidak sedar'" (12:15).
Mereka balik kepada bapa mereka pada waktu isyak, menangis dan berkata,
"Ayah, kami pergi berlumba lari, dan tinggalkan Yusuf dengan barang-barang
kami, lalu serigala memakannya. Tetapi ayah tidak akan percayai kami,
walaupun kami berkata benar."
Dan, mereka tunjukkan baju Yusuf dengan darah palsu padanya. Bapanya
berkata, "Tidak, tetapi jiwa kamu hasut kamu lakukan sesuatu
perkara. Tetapi marilah, kesabaran yang manis! Dan pertolongan Allah dipohonkan
terhadap apa yang kamu terangkan."
Tidak lama kemudian, pengembara-pengembara datang ke perigi di mana Yusuf
berada di dasarnya. Mereka utus seorang pengambil air lalu dia turunkan
timbanya. Tiba-tiba dia berkata, "Oh, berita gembira! Ini seorang anak lelaki
muda."
Mereka ambil Yusuf dan rahsiakannya sebagai barang dagangan; dan
Allah tahu apa mereka buat. Kemudian mereka menjual Yusuf dengan
harga yang murah, hanya beberapa dirham sahaja, kerana mereka tidak
menghargainya.
Orang yang membelinya, dari Mesir, berkata kepada isterinya, "Berilah dia
tempat tinggal yang mulia, dan boleh jadi dia akan bermanfaat kepada kita, atau
kita ambil dia sebagai anak sendiri."
Dengan itu, Tuhan teguhkan Yusuf di bumi supaya Dia mengajarnya
interpretasi mimpi.
Maka tinggallah Nabi Yusuf bersama orang Mesir yang membelinya sehingga
dewasa. dia menjadi seorang lelaki yang amat kacak. Kekacakan beliau buatkan
perempuan, yang di rumahnya dia tinggal, tergoda.
Perempuan itu menutup pintu-pintu seraya berkata, "Marilah
kepadaku!" Yusuf menjawab, "Pada Allah berlindung! Sesungguhnya tuanku
telah beri aku tempat tinggal yang baik!"
Kalau tidak kerana pertolongan Allah, Nabi Yusuf turut tergoda pada
perempuan itu. Kedua-duanya lari ke pintu, dan perempuan tersebut mengoyakkan
baju Yusuf dari belakang.
Mereka dapati ketua mereka di depan pintu. Perempuan itu berkata,
"Apakah balasan bagi orang yang hendakkan kejahatan terhadap keluarga kamu,
melainkan dia dipenjarakan, atau satu azab yang pedih?"
Yusuf berkata, "Dia yang menggoda saya". Lalu seorang daripada ahli
keluarga itu beri suatu penjelasan, "Jika bajunya dikoyakkan di bahagian
depan, maka perempuan itu telah berkata benar, dan Yusuf berdusta, tetapi jika
bajunya dikoyakkan di bahagian belakang, maka perempuan itulah yang berdusta,
dan Yusuf orang yang benar."
Apabila ketua mereka melihat bajunya dikoyakkan dari belakang, dia
berkata, "Ini muslihat perempuan daripada kamu; sesungguhnya muslihat kamu
besar. Yusuf, berpalinglah daripada ini, dan kamu, perempuan, mintalah ampun
atas kesalahan kamu; sesungguhnya kamu bersalah."
Kejadian itu sampai ke telinga wanita-wanita tertentu di kota. Mereka
berbisik, "Isteri Gabenor menggoda pemudanya yang menundukkan hatinya dengan
cinta!"
Setelah isteri Gabenor mendengar bisikan-bisikan licik mereka, dia
utus kepada mereka, dan sediakan bagi mereka tempat-tempat bersandar,
kemudian dia beri tiap-tiap seorang daripada mereka sebilah
pisau.
Kemudian, dia menyuruh Yusuf pergi kepada perempuan-perempuan tersebut.
Apabila mereka melihatnya, mereka sangat kagum padanya, lalu mereka memotong
tangan-tangan mereka, dengan berkata, "Dijauhkan Allah! Bukanlah ini manusia;
dia tidak lain, hanyalah seorang malaikat yang mulia."
Lalu isteri Gabenor berkata, "Inilah dia orangnya yang kamu cela aku
dengannya. Benar, aku telah menggoda dia, tetapi dia tolak. Dan, jika dia
tidak buat apa yang aku perintahkannya, dia akan dipenjara."
Yusuf berkata, "Pemeliharaku, penjara lebih aku suka untukku daripada
apa yang mereka seru aku kepadanya, dan jika Engkau tidak palingkan
muslihat mereka daripada aku, tentu aku akan berkeinginan benar pada mereka, dan
aku jadi orang bodoh."
Pemeliharanya pula menyahutinya, dan Dia palingkan
daripadanya muslihat perempuan-perempuan itu; sesungguhnya Dialah Yang
Mendengar, Yang Mengetahui.
Maka Yusuf dimasukkan ke dalam penjara. Bersama dia adalah dua orang
pemuda. Seorang daripada mereka berkata, "Aku bermimpi bahawa aku memerah
anggur." Berkata yang lain, "Aku bermimpi bahawa aku membawa roti di atas
kepalaku dan burung-burung makan sebahagiannya. Beritahulah kami
interpretasinya. Kami melihat bahawa kamu adalah orang buat baik."
Yusuf berkata, "Wahai rakan-rakanku yang sepenjara, bagi seorang daripada
kamu, dia akan tuangkan minuman arak untuk tuannya; bagi yang satu lagi, dia
akan disalib, dan burung akan makan sebahagian daripada kepalanya."
Kemudian dia
berkata kepada orang yang dia sangka akan diselamatkan
antara keduanya, "Sebutlah aku kepada tuan kamu." Akan tetapi, syaitan
menjadikan dia lupa untuk menyebutnya, supaya dia tetap di dalam penjara
selama
beberapa tahun.
Suatu hari, raja berkata, "Aku melihat dalam mimpi tujuh ekor lembu yang
gemuk, dan tujuh yang kurus memakan mereka; dan tujuh tangkai bijirin yang
hijau, dan tujuh yang lain kering. Wahai pembesar-pembesarku, putuskanlah
kepadaku mimpiku."
Tiada seorang pun antara mereka yang tahu. Kemudian pemuda yang telah
diselamatkan dahulu berkata, setelah teringat, "Aku sendiri akan beritahu
kamu interpretasinya, maka utuslah aku."
"Wahai Yusuf orang yang benar, putuskanlah kepada kami mengenai tujuh
ekor lembu yang gemuk, yang tujuh yang kurus memakan, dan tujuh tangkai bijirin
yang hijau, dan tujuh yang lain kering, supaya aku kembali kepada mereka agar
mereka mengetahui."
Yusuf berkata, "Kamu menyemai tujuh tahun seperti biasa; apa yang kamu
tuai, tinggalkanlah ia pada tangkainya, kecuali sedikit daripadanya kamu makan.
Kemudian sesudah itu, akan datang kepada kamu tujuh tahun yang keras yang
memakan apa yang kamu sediakan bagi mereka, semua, kecuali sedikit yang kamu
simpan. Selepas itu, akan datang satu tahun yang manusia diberi pertolongan
hujan, dan padanya mereka memerah."
Raja berkata setelah mendengar interpretasi mimpi oleh Yusuf yang dibawa
oleh utusannya, "Datangkanlah dia kepadaku." Apabila utusan itu tiba, Yusuf
berkata, "Kembalilah kepada tuan kamu, dan tanya dia, mengenai wanita-wanita
yang memotong tangan mereka?"
Raja bertanya, "Apakah urusan kamu, perempuan-perempuan, apabila kamu
menggoda Yusuf?" Mereka menjawab, "Dijauhkan Allah! Kami tidak tahu kejahatan padanya."
Isteri Gabenor berkata, "Sekarang yang benar akhirnya jadi nyata.
Sayalah yang menggodanya."
Raja berkata, "Datangkanlah dia kepadaku. Aku akan dekatkannya dengan
diriku." Setelah Yusuf berada dengannya, dia berkata kepada Yusuf, "Pada hari
ini, kamu berkedudukan teguh dalam sokongan kami, dan dalam kepercayaan
kami."
Yusuf berkata, "Lantiklah saya kepada perbendaharaan bumi ini; saya
adalah penjaga yang alim (berpengetahuan)."
"Maka Kami teguhkan Yusuf di bumi untuk dia menetap di mana sahaja dia hendaki, dan Kami tidak sia-siakan upah orang-orang buat baik" (12:56).
Suatu hari,
saudara-saudara Yusuf datang lalu masuk kepadanya. dia kenal mereka,
tetapi mereka tidak mengenalinya. Mereka datang untuk meminta
pertolongan makanan.
Setelah Yusuf menyiapkan bekal untuk mereka, dia berkata, "Datangkanlah
kepadaku saudara kamu yang tertentu daripada bapa kamu. Tidakkah kamu melihat
aku tepati sukatan, dan aku yang terbaik daripada penerima-penerima tamu?
Tetapi jika kamu tidak datangkan dia kepadaku, maka tidak akan ada sukatan
bagi kamu denganku, dan tidak juga kamu dapat mendekatiku."
Mereka menjawab, "Kami akan memujuk bapa kami; itu kami akan
buat."
Lalu Yusuf menyuruh budak-budak suruhannya letak balik barang-barang
mereka (yang dibawa untuk mengganti bekalan makanan daripada Yusuf) ke dalam
pundi-pundi mereka supaya mereka mengenalinya apabila mereka balik kepada
keluarga mereka.
Apabila mereka kembali kepada bapa mereka, mereka berkata, "Ayah, sukatan
itu akan dinafikan kepada kami, maka utuslah bersama kami saudara kami supaya
kami dapatkan sukatan itu. Sesungguhnya kami akan menjaganya."
Bapa mereka berkata, "Adakah aku akan percayai kamu kepadanya seperti
aku percayai kamu kepada saudaranya dahulu?"
Dan, apabila
mereka membuka barang-barang mereka, mereka dapati
barang-barang mereka dikembalikan kepada mereka. Mereka berkata, "Ayah,
apakah
yang kita inginkan lagi? Barang-barang kita dikembalikan kepada kita,
dan
kita dapat bekalan makanan untuk keluarga kita, dan kita akan jaga
saudara kita; kita akan dapat tambahan beban seekor unta. Itu sukatan
yang
mudah."
"Aku tidak akan utuskannya bersama kamu sehingga kamu beri aku satu
janji yang teguh dengan Allah, bahawa kamu pasti akan datangkannya kembali
kepadaku, kecuali kamu diliputi." Apabila mereka telah berinya janji
mereka, dia berkata, "Allah jadi Wakil atas apa yang kami
ucapkan."
Maka apabila mereka masuk kepada Yusuf sekali lagi, dia
ambil saudaranya kepadanya, seraya berkata, "Aku saudara kamu; maka jangan kamu dukacita terhadap apa mereka buat."
Kemudian, apabila Yusuf menyiapkan persiapan untuk mereka, dia letak
gelas minumannya ke dalam pundi saudara yang diambilnya.
Sedang mereka mula bertolak untuk kembali kepada keluarga mereka, datang
pula orang yang menyeru, "Hai kafilah, kamu adalah pencuri!"
Mereka bertanya sambil mendekati orang yang menyeru, "Apa yang kamu
hilang?"
"Kami kehilangan gelas berkaki kepunyaan raja. Sesiapa mendatangkannya
akan dapat beban seekor unta; itu aku jamin."
Mereka berkata, "Demi Allah, kamu tahu bahawa kami tidak datang
untuk buat kerosakan di bumi. Kami bukanlah pencuri."
"Apakah balasannya jika kamu adalah pendusta?"
"Balasannya - dalam pundi sesiapa ia didapati, maka dialah balasannya.
Begitulah kami membalas orang-orang zalim."
"Maka dia (Yusuf) memulakan dengan karung-karung mereka sebelum karung saudaranya, kemudian dia keluarkannya daripada karung saudaranya. Begitulah Kami buat muslihat untuk Yusuf; dia tidak boleh ambil saudaranya, menurut agama (pengadilan) raja, kecuali apa yang Allah hendak.Mereka berkata, "Jika dia seorang pencuri, seorang saudaranya adalah seorang pencuri dahulu." Tetapi Yusuf rahsiakannya di dalam dirinya, dan tidak nampakkannya kepada mereka, dengan berkata, "Kedudukan kamu lebih buruk; Allah sangat-sangat tahu apa yang kamu terangkan."Mereka berkata, "Wahai al-aziz (yang perkasa), dia mempunyai bapa yang sangat tua; maka ambillah salah seorang antara kami untuk mengganti tempatnya; kami melihat bahawa kamu adalah antara orang-orang buat baik."Berkata, "Allah menegah bahawa kami patut ambil sesiapa sahaja kecuali orang yang kami dapati barang kami padanya, kerana jika kami buat demikian, tentulah kami jadi orang-orang zalim" (12:76-79).
Apabila mereka kembali kepada bapa mereka dan ceritakan hal saudaranya
yang mencuri dan ditahan di Mesir kedukaan bapanya bertambah,
"Dan dia berpaling daripada mereka, dan berkata, 'Aduhai, dukacitaku untuk Yusuf!' Dan kedua-dua matanya jadi putih kerana kesedihan yang mencekiknya di dalam dirinya" (12:84).
Kemudian dia berkata, "Wahai anak-anakku, pergilah dan carilah berita
mengenai Yusuf dan saudaranya. Janganlah berputus asa daripada kesenangan Allah;
daripada kesenangan Allah, tiada yang berputus asa melainkan kaum tidak percaya (kafir)."
Lalu mereka pergi kepada Yusuf dan berkata, "Wahai al-aziz, penderitaan
telah menyentuh kami dan keluarga kami. Kami datang dengan barang-barang yang
tidak berharga. Tepatilah kepada kami sukatan, dan bersedekahlah kepada kami;
sesungguhnya Allah balas orang-orang yang bersedekah."
Yusuf bertanya, "Adakah kamu tahu apa yang kamu lakukan terhadap
Yusuf dan saudaranya, ketika kamu orang-orang bodoh?"
Mereka menjawab, "Mengapa, adakah kamu benar-benar
Yusuf?"
Dia berkata, "Aku Yusuf. Ini saudaraku. Sungguh, Allah telah berbudi baik
kepada kami. Sesiapa bertakwa dan sabar, maka sesungguhnya Allah tidak sia-siakan upah orang-orang buat baik."
Mereka berkata, "Demi Allah, sesungguhnya Allah lebih suka kamu
daripada kami, dan sesungguhnya kami bersalah."
Yusuf
berkata, "Tidak ada celaan pada hari ini kepada kamu; Allah
mengampuni kamu; Dia yang paling berpengasihan daripada yang
berpengasihan.
Pergilah, ambil baju ini, dan kamu lempar ia kepada muka ayahku, dan dia
akan peroleh kembali penglihatannya; kemudian datangkanlah kepadaku
keluarga kamu
kesemuanya."
Maka, apabila kafilah telah berangkat, bapa mereka berkata, "Sesungguhnya
aku dapati bau Yusuf, melainkan kamu tuduh aku nyanyuk."
Mereka berkata, "Demi Allah, sungguh kamu adalah dalam kesesatan kamu
yang dahulu."
Tetapi apabila pemberi berita gembira datang kepadanya dan lemparkan
baju Yusuf ke mukanya, tiba-tiba dia kembali dapat melihat. Dia berkata,
"Tidakkah aku mengatakan kepada kamu bahawa aku tahu daripada Allah apa
yang kamu tidak tahu?"
Mereka berkata, "Ayah kami, mintalah ampun untuk kami atas
kesalahan-kesalahan kami; sesungguhnya kami bersalah."
"Sungguh, aku akan minta Pemeliharaku untuk mengampuni kamu;
sesungguhnya Dialah Yang Pengampun, Yang Pengasih."
Kemudian mereka berangkat ke Mesir untuk menemui Yusuf.
"Maka, apabila mereka masuk kepada Yusuf, dia ambil kedua ibu bapanya kepadanya, dengan berkata, 'Masuklah kamu ke Mesir, jika Allah hendaki, dalam keadaan aman.'Dan dia naikkan ibu dan bapanya ke atas singgahsana; dan yang lain, jatuh bersujud kepadanya. Berkata, 'Ayah, inilah interpretasi mimpi saya yang dahulu; Pemelihara saya telah membuatnya benar. Dia telah berbudi baik kepada saya apabila Dia keluarkan saya dari penjara, dan Dia datangkan kamu dari gurun setelah syaitan selisihkan antara saya dan saudara saya. Pemelihara saya halus terhadap apa Dia hendaki; sesungguhnya Dialah Yang Mengetahui, Yang Bijaksana.Wahai Pemeliharaku, Engkau telah beri aku untuk memerintah, dan Engkau telah ajar aku interpretasi mimpi. Wahai Pemula langit dan bumi, Engkau Waliku (Pelindungku) di dunia dan akhirat. Matikanlah aku dalam kemusliman, dan satukanlah aku dengan orang-orang yang salih" (12:99-101).
Apakah pelajaran atau pelajaran-pelajaran yang anda perolehi daripada
kisah Nabi Yusuf dengan saudara-saudaranya?